Sejak berpindah ke bandar, Erman tidak pernah sekali pun balik menjenguk ibunya yang tinggal seorang diri di rumah pusaka peninggalan arwah bapanya. Kecil hati orang tua itu bila Erman bersikap sedemikian. Setiap kali anak-anak jiran balik ke rumah ibu bapa mereka, pasti Ramlah akan teringatkan anaknya itu.
Dia tahu Erman melarikan diri dari kampung sebab berkecil hati atas tindakannya tidak mahu menjual tanah miliknya. Erman yang berhasrat berniaga mahu menjadikan hasil jualan tanah pusaka itu sebagai modal.
Ramlah tidak pernah marah kepada anaknya tapi rasa kecil hati Erman itu amat membara. Setiap kali menelefon, Erman tidak menjawab panggilannya. Puas adik-beradik lain menasihatkan Erman untuk pulang menjenguk ibu mereka, tetapi ada sahaja alasan yang diberikan.
Akhirnya tanpa ditemani anak-anak lain, Ramlah mengambil keputusan untuk mencari Erman di rumah sewanya. Terkejut Erman dengan kehadiran ibunya itu. Disebabkan marah, Erman tidak menghiraukan ibunya. Dia juga tidak menjemput ibunya masuk ke rumah.
Berjam-jam Ramlah duduk di luar rumah Erman. Tetapi tetap tidak dihiraukannya. Ramlah akhirnya berputus asa. Dia mengambil keputusan untuk pulang ke kampung. Apabila melihatkan ibunya balik, Erman rasa puas hati.
Selepas peristiwa tersebut, Ramlah cuba menghubungi Erman lagi. Disebabkan rindu pada Erman, ibunya datang sekali lagi ke rumah Erman. Tetapi seperti sebelum ini, Erman tetap tidak menghiraukan ibunya itu.
Disebabkan marah, tanpa sebarang perasaan kasihan, Erman memaki ibunya di hadapan jiran-jirannya. Sedih hati Ramlah di perlakukan sedemikian. Bersama duka, dia pulang ke kampung.
Kesan daripada peristiwa itu, Ramlah mula jatuh sakit. Setiap hari dia pasti akan memanggil nama Erman. Adik-beradik lain memberitahu keadaan ibu mereka kepada Erman tetapi dia tidak peduli. Erman tetap rasa sakit hati pada ibunya.
Sikap Erman terhadap ibunya memang tidak boleh di terima. Walaupun ramai menasihatinya untuk pulang ke kampung dan meminta maaf pada ibunya, namun tidak diendahkannya hinggalah ibu yang sakit itu meninggal dunia.
Erman kemudian tetap dengan kehidupannya. Dia langsung tidak pulang untuk menghadiri pengebumian ibunya. Hinggalah satu ketika hatinya terdetik untuk pulang ke kampung tapi bukan untuk menziarahi kubur ibunya sebaliknya untuk menuntut hak pusaka.
Dalam perjalanan pulang, Erman mengalami kecelakaan, kereta yang dipandu bertembung dengan treler hingga menyebabkan dia maut. Jenazahnya kemudian dikebumikan di tanah perkuburan di kampungnya.
Sesungguhnya Allah itu maha berkuasa, sikap derhaka diperlihatkan balasannya sewaktu jenazah Erman mahu dikebumikan Mungkin kerana mahu memberi pengajaran pada hamba-Nya yang lain.
Jenazahnya terpaksa di bengkokkan apabila mahu dimasukkan ke dalam liang lahad, berikutan kubur yang sudah diluaskan tidak juga dapat memuatkan jenazah. Tidak berakhir di situ, menjelang tengah malam kuburnya terbakar secara tiba-tiba.
Orang kampung yang tinggal berhampiran kawasan perkuburan yang menyedari keadaan tersebut bertindak memanggil pihak bomba kerana agak sukar untuk memadamkan api tersebut.
Selama hampir setengah jam barulah api tersebut dapat dipadam. Apa yang peliknya, api tersebut tidak pula merebak ke kubur lain, hanya kubur Erman. Perkara ini mengundang rasa musykil di hati orang kampung. Namun bagi adik-beradik Erman mereka dapat meneka mengapa perkara sebegini berlaku. Mungkin inilah pembalasan buat anak yang menderhaka pada ibunya.
Sumber : Majalah Wanita Edisi September
1 00000 comments:
Ssungguhnya membuktikan sangatlah besar kuasa ALLAH tue . Nauzubillah .
Semoga kita terhindar dari menjadi anak derhaka .
Post a Comment